Khamis, 30 Julai 2009

Kunyit dan Daun Kunyit

Kunyit adalah salah satu tumbuhan alami yang boleh ditanam sekeliling rumah anda. Bagi masyarakat kita, kebiasaannya kunyit digunakan sebagai salah satu bahan untuk memasak. Ia dapat memberikan warna kuning pada masakan kita. Selain dari itu kunyit juga dapat mengurangkan bau hamis dan hanyir yang ada pada ikan, ayam dan juga daging. Bagi masyarakat melayu daun kunyit juga digunakan dalam masakan. Antaranya gulai lemak, rebusan kerang, rendang dan beraneka jenis masakan lagi.Tahukah anda bahawa terdapat banyak khasiat yang terkandung di dalam tumbuhan tersebut? Mari kita kongsi bersama antara khasiat-khasiat kunyit.

Khasiat kunyit dan cara memanfaatkannya
  1. Mempunyai kandungan antioksidan yang tinggi, antaranya vitamin C dan E serta karotenoid. Antioksidan amat penting untuk penjagaan kesihatan dan pengawalan jantung. Ia mengandungi antioksidan yang berkesan seperti curcumin dan kompaun curcuminoids. Curcumin membantu menghalang kolesterol dari menyempitkan arteri, ini dapat mengurangkan risiko serangan jantung.
  2. Kunyit dapat mengurangkan paras kolesterol dalam darah dan menghalang pembentukan ketulan darah yang boleh menyebabkan serangan jantung.
  3. Mengurangkan tekanan darah tinggi. Caranya, ambil kunyit sebesar ibu jari, bersihkan dan parut kemudian perah airnya. Campurkan perahan tadi dengan satu sudu besar madu dan suku sudu teh lada hitam. Minum 2 kali sehari pagi dan petang. INSYAALLAH berkesan.
  4. Membantu mengurangkan paras gula dalam darah (diabetes). Caranya, bersihkan 3 ketul kunyit, 1/2 sudu teh garam. Kedua-dua bahan tersebut direbus dengan liter air hingga mendidih, kemudian tapis. Minum air rebusan kunyit itu 1/2 gelas 2 kali seminggu.
  5. Air rebusan ibu kunyit boleh diamalkan oleh wanita yang baru melahirkan bagi tujuan mengecutkan peranakan. Kunyit juga membantu membersihkan sisa darah yang tertinggal pada rahim dan organ peranakan wanita.
  6. Melancarkan perjalanan darah.
  7. Dapat membantu memanaskan badan. Caranya, tumbuk kunyit hingga hancur dan dicampurkan dengan air, kemudian tapis. Minum 3 kali seminggu.
  8. Bagi tujuan awet muda, kunyit berfungsi dalam mencegah kulit dari cepat berkedut. Caranya, parut 2 ketul isi kunyit dan lempoyang kemudian campurkan dengan 1/2 cawan air dan tapis. Air tapisan tadi campurkan dengan 1 sudu besar limau nipis dan 1 sudu besar madu. Minum 3 hari berturut-turut dan jangan lupa selawat. INSYAALAH.
  9. Membantu mengelakkan atau mengurangkan sakit disebabkan senggugut. Caranya, 2 ketul isi kunyit, 1/2 sudu teh ketumbar, 1/2 sudu teh biji pala ditumbuk halus. Kemudian rebus dengan 1 liter air hingga mendidih. Tapis air rebusan dan minum segelas sehari. INSYAALAH berkesan. Selamat mencuba.
  10. Membantu proses penghadaman dan mengeluarkan angin dari dalam perut. Selain itu bagus dalam mengatasi masalah sembelit. Caranya, seketul kunyit, sebiji limau nipis, sepotong gula melaka, dan garam secukup rasa. Kunyit tadi diparut dan campur dengan air perahan limau nipis dan bahan2 lain. Kemudian campurkan pula dengan segelas air panas dan tapis. Minum setiap pagi selepas sarapan.
  11. Kunyit boleh dijadikan ulam dan dimakan dengan nasi. Ia membantu meningkatkan pengeluaran sel darah merah dan bagus untuk anemia.
  12. Kunyit juga dapat merawat gatal, kudis, sakit lutut, sendi dan ruam.
  13. Menghilangkan bau badan.
  14. Mengubati panau. Caranya, potong isi kunyit dan campurkan dengan kapur sirih. Sapu pada panau.
  15. Mengurangkan demam panas. Caranya, 1 ketul isi kunyit yang telah diparut dicampur dengan 1/2 gelas air. Kemudian tapis dan minum 2 kali sehari.
  16. Bagi mereka yang kurang nafsu makan dan terasa mual boleh ambil 1/2 ketul kunyit dan diparut, campurkan dengan air dan tapis. Minum airnya sebanyak 3 kali.
  17. Daun kunyit dapat dimanfaatkan untuk merawat pening dan sakit kepala. Caranya, ramaskan beberapa helai daunnya dan dicampurkan dengan air. Kemudian sapu ke kepala hingga rata.
  18. Kunyit juga membantu dalam mengurangkan berat badan. Jadi kepada sesiapa yang mahu menguruskan badan boleh menjadikan kunyit sebagai ulam-ulaman untuk mendapatkan manfaat daripadanya. Semoga berjaya dan selamat mencuba.
  19. Merawat sakit keputihan yang sering menjadi masalah kepada wanita.
"SETIAP PENYAKIT ITU ADA PENAWARNYA"

Tiada ulasan: